Oleh Dr. Zulkifli Yusof - Yang Dipertua ISMA Cawangan Alor Setar
Matlamat puasa adalah taqwa. Sebagaimana Alalh berfirman dalam Surah Al-Baqoroh ayat 183 (yang bermaksud): "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa". Di dalam keinginan tinggi kita mendapat taqwa, aspek-aspek kesihatan dan pemakanan perlu diambil kira agar tubuh badan kita dapat melaksanakan segala ibadah sebaik mungkin.
Antara tips-tips kesihatan yang ingin saya kongsikan adalah:
1. Berbuka dengan ruthaab, tamar atau air

Ruthaab (kurma basah) adalah lebih baik dari tamar (kurma kering) kerana kandungan seratnya yang lebih tinggi. Dalam hadis riwayat Imam Abu Daud dan Al-Hakim ‘Rasulullah saw berbuka dengan memakan beberapa Ruthaab sebelum solat, kalau tiada Ruthaab maka baginda berbuka dengan Tamar, kalau tidak ada maka dengan meneguk air beberapa teguk’.
Bersegeralah berbuka. Tetapi kawal makan semasa berbuka. Sebaiknya kita berbuka dengan karbohidrat ringkas seperti kurma, bersolat dan seterunya menikmati juadah yang lebih berat. Dengan itu kita akan mendapat tenaga segera dengan memakan karbohidrat ringkas dan menyediakan perut kita bagi menghaDam makanan yang lebih kompleks. Perut yang kosong selama 14 jam akan lebih baik jika didedahkan dengan makan secara beransur-ansur.
Kita juga jangan menganggap juadah berbuka adalah gabungan makan pagi, tengahari dan petang yang ditinggalkan beserta makan malam. Berbuka melebihi had menyebabkan badan menjadi letih dan kurang cergas untuk beribadat. Konsentrasi solat juga akan terganggu. Adalah baik bahawa kuantiti juadah yang kita nikmati adalah seperti kuantiti makan malam biasa. Kita berhenti makan sebaik sahaja merasakan perut akan penuh.

Puasa Romadhon adalah satu period yang penting berlakunya proses ‘detoksifikasi’. Detoksifikasi adalah proses pembersihan racun dan toksin dari badan. Ketika berpuasa organ pencernaan makanan seperti perut dan pankreas berehat. Ia membantu organ pembersihan seperti usus, hati dan ginjal berfungsi dengan lebih berkesan mengeluarkan toksin dari badan. Ketika puasa juga, bahan simpanan dalam badan (lemak) ditukar kepada glukos untuk menghasilkan tenaga. Bahan toksin yang ‘larut lemak atau lipid soluble’ akan dibuang bersama. Namun begitu, proses detoksifikasi tidak berkesan jika kurang air di dalam badan.
Ada pendapat mengatakan bahawa minuman ais/sejuk adalah tidak baik bagi kesihatan kerana air yang sejuk di dalam perut akan menyebabkan lemak berkumpul dan mengganggu proses penghadaman. Walaupun pandangan ini diterima ramai, tiada fakta perubatan untuk mengesahkannya. Air sejuk/ais adalah hidangan hampir wajib di setiap rumah semasa berbuka di negara kita. Rakan-rakan saya dari kalangan doktor dan pakar perubatan sukakan air sejuk kerana ianya tidak membuang masa untuk menghabiskannya berbanding minuman panas. Dengan itu kami dapat bertugas dengan lebih cepat.
3. Sebaiknya masak sendiri juadah berbuka

Satu trend yang kurang sihat yang berlaku di bandar-bandar adalah menghadiri ‘Buffet Ramadhan’ di hotel-hotel. Hotel-hotel ini biasanya menawarkan pelbagai juadah istimewa sebagai penarik dengan harga yang tidak murah. Secara psikologinya, setelah mengeluarkan belanja yang tidak sedikit, kita akan cenderung makan sepuas mungkin. Ini menyebabkan kita terlebih kenyang dan ini tidak membantu dalam pengamalan makanan yang sihat. Ini tidak termasuk dengan status halal dapur-dapur hotel yang diperkatakan sekarang.
Perbanyakkan makan buah dan sayur dalam bulan Romadhon. Buah-buahan dan sayur mempuyai banyak serat serta anti-oksidan. Serat penting bagi melancarkan sistem penghadaman. Manakala anti-oksidan adalah elemen penting anti-penuaan dan melawan penghasilan barah. Saya mencadangkan supaya kita memakan lebih banyak sayur semasa berbuka dan menggantikan kuih-muih yang dimakan dengan buah-buahan selepas tarawih serta semasa bersahur.
4. Lewatkan bersahur
Rasulullah SAW menyuruh kita bersahur serta melewatkannya. Rasulullah SAW bersabda ‘bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada barakah’ (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Ahmad, Tarmizi, Nasai, Ibn Majah).
Sahur yang dilewatkan sebenarnya adalah sarapan pagi yang awal atau ‘early breakfast’. Sebenarnya makanan yang paling penting dalam sehari adalah makan pagi. Orang yang bersarapan pagi mempunyai risiko kurang 50% mendapat sakit jantung dan kurang risiko gemuk dan kencing manis. Sahur akan memberikan tenaga sepanjang puasa selama sehari. Glukos darah yang kurang di awal pagi akan terus kurang jika kita tidak bersahur. Bahkan bersahur lebih penting bagi kanak-kanak kerana tubuh mereka yang kecil.
Semoga penjagaan kesihatan semasa puasa Romadhon dapat menjadikan badan cergas bagi melaksanakan ibadah semaksima mungkin. Kerana kita tidak tahu Romadhon kali ini mungkin yang terakhir bagi kita.
Sahur yang dilewatkan sebenarnya adalah sarapan pagi yang awal atau ‘early breakfast’. Sebenarnya makanan yang paling penting dalam sehari adalah makan pagi. Orang yang bersarapan pagi mempunyai risiko kurang 50% mendapat sakit jantung dan kurang risiko gemuk dan kencing manis. Sahur akan memberikan tenaga sepanjang puasa selama sehari. Glukos darah yang kurang di awal pagi akan terus kurang jika kita tidak bersahur. Bahkan bersahur lebih penting bagi kanak-kanak kerana tubuh mereka yang kecil.
Semoga penjagaan kesihatan semasa puasa Romadhon dapat menjadikan badan cergas bagi melaksanakan ibadah semaksima mungkin. Kerana kita tidak tahu Romadhon kali ini mungkin yang terakhir bagi kita.
Salam Romadhon Kareem.
Terima kasih kepada sumber: http://www.wanitaisma.net/kesihatan/70-tips-tips-kesihatan-ramadhan.html