PERHATIAN: Laman alqayyum2u.blogspot.com ini tidak lagi dikemaskini. Sila layari laman web kami di alqayyum2u.com untuk paparan yang lebih baik dan terkini. Syukron jazilan. - Pentadbir

Isnin, 7 Disember 2015

Pengertian Zikir

Kita sering berfikir bahawa hanya orang-orang tertentu sahaja yang sering berzikir; seperti Ustaz, Imam dan Ulamak. Kita juga beranggapan bahawa berzikir hanya boleh dilakukan setelah memegang tasbih di tangan dan duduk di atas sejadah sahaja. 

Mari kita dalami pengertian zikir. Zikir menurut pengertian Syariat adalah mengingat Allah SWT dengan maksud untuk mendekatkan diri kepadaNya. Ia sebenarnya tidak terhad kepada kalimat-kalimat tertentu.

Berzikir dapat dilakukan dengan berbagai cara dan dalam keadaan bagaimamanapun: berdiri, duduk atau berbaring; kecuali di tempat yang tidak sesuai dengan kesucian Allah SWT, seperti bertasbih di dalam tandas atau tempat-tempat yang kotor.

"(Iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka." (Ali Imran: 191)

Dengan niat, doa, perbuatan atau ucapan secara ikhlas menjadikan seseorang itu sudah dianggap berzikir. 

Sebagaimana firman Allah SWT (yang bermaksud): 
“Kerana itu, ingatlah (berzikirlah) kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)Ku.” (Al-Baqoroh: 152)

Berzikir juga tidak ada batasan masa dan tidak ada uzur yang dapat diterima untuk tidak berzikir, kecuali jika berubah akal (gila). Kita boleh mengingati Allah tidak kira pagi, siang, petang, malam, di darat, di laut, di udara, pada segala tempat dan masa, bagi yang kaya, miskin, sihat, sakit, terang-terangan atau sembunyian dengan lisan atau hati dan pada segala hal keadaan.

Walaubagaimanapun amalan-amalan membaca kalimat-kalimat tertentu adalah sangat mulia dan sangat dituntut serta disukai oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Ianya merupakan rangkaian iman yang harus disempurnakan oleh semua umat Islam dalam keadaan khusyuk dan tawaduk. 

Rasulullah SAW telah bersabda (yang bermaksud): “Pada hari kiamat orang yang paling beruntung mendapat syafaatku ialah orang yang banyak membaca kalimah ‘Laailaha illallah’ dengan hatinya dan jiwanya iaitu dengan hati yang ikhlas”.” (HR Al-Bukhori)

Artikel tulisan:
Hasnizan Abdul Razak
PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™
alqayyum2u.blogspot.my