PERHATIAN: Laman alqayyum2u.blogspot.com ini tidak lagi dikemaskini. Sila layari laman web kami di alqayyum2u.com untuk paparan yang lebih baik dan terkini. Syukron jazilan. - Pentadbir

Sabtu, 5 Ogos 2017

Kerana Nila Setitik

Kerana nila setitik, rosaklah susu sebelanga.

Syukur alhamdulillah anda diberikan kesihatan yang baik dan sempurna. Syukur alhamdulillah anda dapat terus bernafas dan menikmati setiap detik dan ketika; juga kebahagiaan dalam kehidupan ini. Kehidupan di muka bumi Allah.


Namun, penyakit tidak mengenal masa dan ketika. Allah itu Maha Kaya dan Maha Pengasih dan Maha Penghapus segala dosa. Orang yang sakit tidak pernah meminta dirinya untuk sakit. Orang yang sakit, tidak pernah berharap pun dirinya untuk menghidapi apa jua kesakitan dan kesesengsaraan.

Bagi mereka yang sihat dan masih menikmati kehidupan, ketahuilah bahawasanya anda juga boleh 'diserang' apa jua Penyakit. Penyakit 'menyerang' tidak mengenal usia, jantina dan profesion. Samada anda hebat, anda gagah, anda cantik, anda cerdik atau anda bodoh; Penyakit mampu untuk menundukkan anda. Tidakkah kita tahu bahawasanya semua Penyakit itu datangnya dari Allah SWT?

Mencemuh dan menghina para Perawat Islam yang berdakwah dan berjihad di jalan Allah, bukanlah perkara yang boleh dianggap jenaka. Memandang serong kepada golongan Perawat Islam adalah perkara lumrah di dalam masyarakat. Mungkin kerana wujudnya Perawat Yang Menyeleweng dari Aqidah (Perawat Mungkar), maka mereka yang benar-benar ikhlas dan berkemampuan merawat juga dianggap sesat. Na'uzubillahi min zalik.

Ketahuilah bahawa di dalam setiap profession, pekerjaan dan seluruh lapisan sosio-ekonomi masyarakat; sudah pastinya ada mereka yang jahat, mungkar juga munafik. Ada yang betul, ada yang menyamar dan ada yang 'buat-buat pandai'. Ini adalah lumrah kehidupan; fitrah ciptaan Allah SWT menjadikan manusia. Di dalam situasi dan kehidupan yang semakin mencabar dan terdesak hari ini (2017); manusia sanggup melakukan apa saja demi mendapatkan wang.

Wang dan kemewahan menjadi sandaran kepada kejayaan seseorang manusia itu. Mereka yang ada banyak wang dan harta kemewahan dianggap berjaya, manakala yang tidak mempunyai wang yang banyak dianggap gagal dan dipandang hina. Majoriti manusia berlumba-lumba mengejar kesenangan dan kemewahan hidup; baik orang Islam mahupun orang bukan Islam (Kafir). Persoalannya, mengapa orang Islam mahu hidup seperti orang Kafir? Bersifat dan bersikap seperti orang Kafir? Adakah ajaran Islam telah gagal untuk sampai kepada golongan sebegini?

Kehidupan adalah satu ibadah. Setiap detik dan nafas kita (bagi yang mengetahui) adalah kerana Allah SWT semata-mata. Setiap usaha dan titik-peluh kita dalam mencari nafkah dan kesenangan adalah ibadah (selagi berpegang kepada ajaran Islam). Mengapa perlu hidup mencontohi cara orang Kafir? Namun perlu diingatkan bahawa bukan semua orang Kafir itu jahat. Dalam Islam mengajarkan bahawa ada beberapa golongan orang Kafir. Ada yang boleh kita bunuh dan ada yang wajib kita berbuat baik kepadanya.

Islam adalah ajaran yang hebat, sempurna dan penuh dengan keagungan. Hidup sebagai orang Islam, perlu memilih jalan untuk menjadi orang yang beriman (Mukmin). Menjadi orang beriman akan ada keberkatan, rohmat dan nikmat yang tidak terhingga; samada di dunia mahupun di akhirat. Itu adalah janji Allah SWT, Tuhan Maha Pencipta. Bukan janji makhluk seperti kita ini.

Maka, pilihlah jalan yang lebih hebat dan sempurna iaitu menjadi Orang Islam Yang Beriman (Mukmin). Kerana hanya Mukmin sahajalah yang akan mendapat nikmat yang terbaik dari Allah SWT. Sekadar ada tercatat sebagai "Islam" di dalam Kad Pengenalan sahaja, masih belum mencukupi. Maka kerugianlah kepada mereka yang memilih cara hidup, cara berfikir dan cara bekerja sebagaimana orang-orang Kafir. Perlu belajar dan terus belajar menjadi orang beriman. Ilmu Allah itu sangat luas dan tiada penghujungnya sebagaimana sifat Allah SWT itu sendiri. Allah Maha Pengampun. Allah Maha Penerima Taubat. Pintu Taubat jaraknya adalah seluas langit dan bumi.

Kesimpulannya, janganlah kita memandang rendah, jangan memandang serong, jangan mencemuh dan suka menghina orang lain; kerana kuasa Allah SWT itu Maha Hebat dan Maha Menurunkan Bala dan Musibah. Hari ini kita sihat waalfiat; esok lusa belum tahu lagi. Apa jua musibah dan keburukkan boleh berlaku; samada kepada kita dan orang-orang yang kita sayangi di sekeliling kita. Ketahuilah bahawasanya bukan semua Penyakit boleh diubati dengan kaedah Rawatan Moden (Allopathy). Terdapat ribuan kes yang tidak dapat dikesan dan tiada penyelesaian melalui kaedah Rawatan Moden (Hospital dan Klinik). Hanya yang ada; Al-Quran jualah yang menjadi Rohmat dan Penawar bagi orang-orang yang beriman.

Inilah pengalaman saya dalam bidang Perubatan Holistik Islamiah. Bukan Sekadar Ruqyah! Wallahua'lam.

Artikel tulisan:
Indera Saifullah Tahir
PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™
alqayyum2u.blogspot.com