Jumaat, 13 Julai 2018

Mu'alij Zain Dijemput Menjadi Tetamu Allah

Syukur alhamdulillah. Pada 5hb Julai 2018 yang lalu; selepas Solat Isyak, sebahagian dari jemaah Perawat PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM telah berkesempatan mengadakan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat Pergi dan Kembali, khas untuk Mu'alij Zain Misbah yang akan berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah Haji pada tahun 1439H/2018 ini. 

Bacaan Doa Selamat oleh Cikgu Indera Saifullah.
Dari kiri: Sdr Zahid, Mu'alij Zain, Cikgu Indera, Mu'alij Malik dan Sdr Sabri. 
Dari kiri: Sdr Naim, Sdr Zahid dan Mu'alij Zain.
Marilah kita sama-sama mendoakan agar Mu'alij Zain Misbah dan ibubapanya selamat pergi dan kembali ke tanahair serta mendapat Haji yang mabrur. In shaa Allah.

Setiap tahun berjuta umat Islam memenuhi kota Mekah dan Madinah bagi melaksanakan ibadah haji. Bagi yang berkemampuan, ini adalah satu peluang bagi melengkapkan rukun Islam yang kelima. Tambahan pula, kita sering mendengar cerita-cerita menarik semasa menunaikan haji atau umrah selain ganjaran hebat dari Allah. Dikongsikan serba-sedikit di sini nikmat bagi mereka yang mengerjakan haji:

1. Antara Amalan Terbaik

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa Rasulullullah SAW pernah ditanya tentang amalan apa yang paling utama?

Beliau menjawab: ‘Iman kepada Allah dan Rasul-Nya.’ Kemudian beliau ditanya kembali, ‘Setelah itu apa lagi?’ Beliau menjawab, ‘Jihad fi Sabilillah.’ Kemudian ditanya lagi, ‘Lalu apa lagi? Beliau menjawab, ‘Haji mabrur.’

HR. Al-Bukhari 1519, Muslim 83

Berniatlah agar dapat melaksanakan antara amalan terbaik yang disarankan oleh Rasulullah SAW ini. Namun, ia perlulah dilaksanakan dengan sempurna agar kita pulang dengan haji mabrur.


2. Satu Bentuk Jihad

Ibadah haji adalah merupakan salah satu bentuk jihad bagi semua umat Islam. Ia tidak mengira usia atau keadaan fizikal seseorang. Maka lemah atau pengecut itu bukanlah satu kekangan. 

Ini sebagaimana riwayat dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Haji adalah jihad kepada yang tua, yang lemah dan para wanita.”


3. Menghapuskan Dosa-Dosa Silam

Siapa yang tidak mahu dosanya dihapuskan. Ia adalah tiket ke syurga memandangkan hidup ini penuh dengan dugaan yang memungkinkan kesilapan seringkali berlaku. Begitulah beruntungnya bagi mereka yang melaksanakan ibadah haji. Jika ibadah tersebut dilakukan dengan sempurna, maka dirinya akan sebersih kain putih yang belum penah tercemar.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA, ia berkata: Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Barangsiapa berhaji ke Baitullah tanpa berkata keji, tanpa bersetubuh dan tanpa berbuat kefasikan (selama ihram), maka dia pulang (tanpa dosa) bagaikan bayi yang baru lahir.”

Hadis ini juga diriwayatkan oleh Al-Bukhari: 1819

Mukhtashar Shahih Muslim, hal.399.


4. Menjadi Tetamu Allah

“Orang-orang yang mengerjakan ibadah haji dan umrah adalah tetamu-tetamu Allah. Allah memberi kepada mereka apa yang mereka minta, dan Dia mengabulkan semua doa mereka; kemudian Dia akan mengganti semua harta yang mereka belanjakan untuknya, satu dirham menjadi sejuta dirham.”

HR Baihaqi

Di dunia ini, hati akan berasa bangga dan seronok jika dijemput oleh orang-orang besar, pemimpin-pemimpin dan ketua-ketua yang hebat di mata masyarakat. Oleh itu, tentulah tiada perkataan yang dapat diungkapkan jika dijemput menjadi tetamu kepada pemilik seluruh alam. Bukan semua orang mendapat kesempatan ini walaupun ramai yang menginginkannya.


5. Dijanjikan Syurga

Jika tadi dikatakan dosa dapat dihapuskan dengan menunaikan ibadah haji , maka pastinya habuan dari itu adalah syurga Allah.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Umrah yang satu dengan umrah berikutnya adalah penghapus dosa yang dilakukan antara masa keduanya, sedangkan haji mabrur balasannya tiada lain adalah syurga.”

HR Al-Bukhari: 1773

Sebagai umat Islam, impian kita adalah syurga. Hidup di dunia ini hanyalah satu perjalanan menuju ke syurga yang kekal abadi.


6. Berbelanja Ke Jalan Allah

Perjalanan melaksanakan ibadah haji bukan sahaja menuntut pengorbanan masa dan tenaga, tapi ia turut memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Mungkin kerana itulah Allah memberikan ganjaran yang hebat kepada mereka yang melakukan ibadah ini termasuk menyamakan perbelanjaan itu dengan perbelanjaan kerana Allah.

“Orang-orang yang mengerjakan ibadah haji dan umrah adalah tetamu-tetamu Allah. Allah memberi kepada mereka apa yang mereka minta, dan Dia mengabulkan semua doa mereka; kemudian Dia akan mengganti semua harta yang mereka belanjakan untuknya, satu dirham menjadi sejuta dirham.”

HR Baihaqi

Oleh itu, tanamkanlah niat untuk mengambil peluang menjana pahala ini. Berusahalah untuk menjadi tetamu Allah walaupun perjalanannya agak sukar dan perlahan. Tiada yang mustahil dari Dia. Bagi mereka yang berpeluang menunaikan ibadah haji, ini adalah masa terbaik untuk mengaut semua keuntungan yang dijanjikan oleh Allah SWT.



Terima kasih kepada sumber:
https://tazkirah.net/6-keistimewaan-bagi-mereka-yang-menunaikan-ibadah-haji/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Popular