Khamis, 2 Jun 2016

Bagaimana Mengenal Perawat Islam Yang Sebenar?

Sejak beberapa tahun ini, sudah tumbuh begitu banyak Pusat Perubatan Islam di Malaysia dan semakin ramai Perawat yang mula mempublisitikan diri mereka dengan kaedah Perubatan Ruqyah Syar'iyah serta menggunakan kaedah perubatan yang berlandaskan Syariat Islam. Syukur alhamdulillah di atas suasana positif yang mendorong ummat Islam ke arah pengamalan Ayatul Quran dan Sunnah Rasulullah SAW sebagai ikhtiar kepada segala jenis penyakit mahupun masalah.

Namun, masih ada beberapa persoalan di dalam hal Perubatan Islam ini yang perlu diperjelaskan, sebagaimana berikut:



1) Jaminan Kesembuhan Hanya Hakmilik Mutlak Allah SWT

Iktiqad, Niat dan Perbuatan kita di dalam proses perubatan adalah semata-mata sebagai IKHTIAR untuk mencari kesembuhan. Tidak ada jaminan bahawa sesuatu penyakit pasti sembuh sepenuhnya melalui sesuatu jenis perubatan; samada melalui Perubatan Moden (Allopathy), Perubatan Alternatif, Ruqyah Syar'iyah (jampi yang mengikut hukum Syari'e) atau sebagainya.


Antara Ubat dan Penyakit, perlu ada keserasiannya. Ada beribu jenis ubat-ubatan yang telah dikenalpasti dapat mengubati bemacam jenis penyakit; dari penyakit ringan hinggalah yang berat. Setiap kemujaraban sesuatu perubatan adalah dengan izin dan kuasa Allah SWT jua. Sekiranya bertepatan perubatan yang dijalankan ke atas sesuatu penyakit, maka kesembuhan mungkin dicapai; tetapi masih bukan satu jaminan mutlak antara sesuatu jenis perubatan dengan pencapaian kesembuhan. 

Sebagai orang Islam yang beriman; perlu menyakini bahawa kemujaraban sesuatu perubatan atau rawatan bagi sesuatu Penyakit (atau penyelesaian Masalah) adalah tertakluk sepenuhnya kepada hubungan makhluk dengan Maha Pencipta, Allah SWT.

Dalam konteks Perubatan Ruqyah Syar'iyah; sejauhmana hubungan dan keikhlasan seseorang itu; yakni Pesakit dan Perawat; dengan Allah SWT. Adakah dia seorang yang dikasihi Allah SWT? Adakah perbuatannya diredhoi Allah SWT? Adakah doanya mudah dikabulkan Allah SWT? Ini adalah perkara yang sangat penting di dalam mencari kesembuhan. Sesungguhnya, hanya Allah SWT Maha Penurun Penyakit; juga Maha Penyembuh.

Bukan setakat seseorang itu bergelar 'Ustaz', atau berjubah dan berserban; belum tentu terjamin di dalam mencapai kemujaraban perubatan dan rawatan. Seseorang Perawat yang mengaku dengan angkuh bahawa dirinya benar-benar berlandaskan Syariat Islam di dalam merawat Pesakit; atau malahan mencemuh Perawat Islam yang lain yang kononnya tidak berlandaskan Syariat Islam; adalah antara contoh tipikal gejala hasutan Syaiton ke atas mereka yang mahu mendekati Allah SWT. Na'uzubillahi min zaalik.

Untuk menjadi Perawat Islam yang diredhoi Allah SWT (juga termasuk Pesakit), perlulah berpegang kepada Iman, Taqwa, Ilmu dan Amal (yang wajib dan sunat) yang jelas serta Istiqomah (berterusan); sebagaimana yang dituntut dalam Islam. Perawat perlu sentiasa bersyukur. Perlu sentiasa tunduk dan merendah diri. Tidak bermegah dan tidak berbangga diri dengan ilmu perubatan yang dimiliki. Bercakap besar, bermegah, angkuh, riak dan takbur adalah tanda-tanda awal seseorang itu bersekongkol dengan Syaiton. Maka, jauhilah diri kita dari Perawat yang bersifat sebegini.

“Bertanyalah kepada mereka: SIAPAKAH YANG MEMBERI REZEKI KEPADA KAMU dari langit dan bumi? Atau SIAPAKAH YANG MENGUASAI PENDENGARAN DAN PENGLIHATAN? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan SIAPAKAH PULA YANG MENTADBIRKAN URUSAN SEKALIAN ALAM? Maka mereka tetap akan menjawab dengan berkata: Allah jualah yang menguasai segala-galanya! Oleh itu, katakanlah: MAKA MENGAPA KAMU TIDAK MAHU BERTAKWA?”  (Yunus: 31)

“Dengan itu ALLAH MENUNJUKKAN JALAN-JALAN KESELAMATAN SERTA KESEJAHTERAAN kepada SESIAPA YANG MENGIKUT KEREDHOANNYA dan Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita kepada CAHAYA YANG TERANG-BENDERANG, dengan izinNya dan Tuhan menunjukkan mereka ke JALAN YANG LURUS.”  (Al-Maeda: 16)


2) Yang Luarbiasa Itu Belum Tentu Diredhoi Allah SWT

Dalam mencari kesembuhan, faktor keluarbiasaan (supernatural) itu tidak boleh kita jadikan sebagai sandaran di dalam memilih jenis perubatan atau Perawat yang akan mengubati kita. Jangan sesekali bersifat taksub kepada seseorang Perawat itu yang kononnya mampu memulihkan sesuatu Penyakit yang berat itu dengan cepat dan secara perubatan yang ringkas. 

“Sesungguhnya kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi. Dia menghidupkan dan mematikan. Dan sekali-kali TIDAK ADA PELINDUNG DAN PENOLONG BAGIMU SELAIN ALLAH.” (At-Tauba: 116)

Memang ada, di atas kehendak dan izin Allah SWT; keajaiban mungkin boleh berlaku. Sekiranya seseorang itu adalah seorang yang diredhoi Allah SWT, mengapa tidak. Kuasa Allah tidak mungkin terbatas kerana Allah SWT itu Maha Menjadikan apa jua, secara kebiasaan atau secara luarbiasa. Tetapi perlu diingatkan bahawa perkara ajaib yang dapat berulang-ulang kali dilakukan, boleh membawa kepada kemungkinan besar berlakunya ISTIDRAJ; yakni perkara yang bertentangan dengan adat kebiasaan  (khoriqul adat / memecah adat) yang diizinkan Allah SWT untuk berlaku demi menambahkan lagi kesesatan dan kekufuran seseorang itu.

Sebagai contoh; seorang Perawat yang boleh mengubati penyakit jantung dengan memegang dada Pesakit dan serta-merta pesakit menjadi sihat dan boleh melakukan apa yang tidak mampu dilakukannya sebelum perubatan dilaksanakan. Juga contoh lain, seperti Perawat yang boleh membelah perut pesakit tanpa dirasakan kesakitan oleh pesakit; dan berbagai lagi contoh perkara-perkara pelik, aneh dan ajaib yang berlaku secara berulang-ulangan.

Adakah Perawat berkenaan memiliki kelebihan karomah sebagaimana golongan para wali Allah yang sangat tinggi akan tahap ilmu, iman dan amal ibadatnya? Mustahil Perawat adalah Nabi atau Rasul yang memiliki mukjizat. Nabi dan Rasul terakhir hanya Nabi Muhammad SAW. 

Inilah perkara-perkara yang perlu kita selidiki sekiranya kita ingin berikhtiar mencari kesembuhan dengan Perawat yang dikatakan hebat dan luarbiasa akan kepakarannya. Apa yang ditakuti Perawat berkenaan berkemungkinan berdampingan dengan Jin dan Syaiton, yang telah memperdayakannya; secara disedari atau tidak disedari. Ini bukan bermaksud tuduhan, tetapi sebagai panduan kepada Pesakit di dalam membezakan antara yang hak dan bathil. 

Maka, sebagai Pesakit, sudah pasti juga sudah terlibat dengan perbuatan syirik (menyekutukan Allah) dan kesesatan. Walau sembuh sekalipun (kebanyakannya sembuh sementara sahaja); diri kita dan kehidupan kita pastinya tidak mendapat keredhoan, rohmat dan barokah Allah SWT. Na'uzubillahi min zaalik. 

Sebagai contoh; pasangan dan anak cucu kita mengalami penyakit aneh yang sukar untuk diubati, jiwa dan kehidupan tiada mendapat ketenangan, sering ditimpa kesusahan dan kemalangan, rezeki sempit dan sebagainya; adalah antara kemungkinan yang sering berlaku sekiranya kehidupan kita tiada mendapat keredhoan, rohmat dan barokah Allah SWT. Wallahua'lam. 


3) Teknik Perubatan yang dijalankan mestilah tidak menggunakan bahan/medium yang bersifat haram, mungkar atau khurafat (karut).

Bahan/medium berikut adalah ditegah sepenuhnya dalam Perubatan Islam seperti: tangkal, azimat, rajah, darah, tanah kubur, kain kapan yang telah terpakai, air mandian mayat, najis haiwan, bangkai, sembelihan atau segala jenis batu, kayu, besi, buluh, rotan; atau barang yang dibuat dari emas, perak, tembaga, besi dan sebagainya; atau mengadakan ancak, jamuan, persalinan, mentera atau sebagainya; atau dikaitkan dengan resam haiwan seperti buaya, harimau, singa, beruang, burung helang dan sebagainya - yang semuanya sering dikaitkan dengan kemujaraban rawatan atau kesembuhan sesuatu Penyakit itu.

Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: “Bahawasanya ALLAH TELAH MENURUNKAN PENYAKIT DAN UBAT dan dijadikan kepada SETIAP PENYAKIT ADA UBATNYA, berubatlah tetapi JANGAN BERUBAT DENGAN BENDA-BENDA YANG HARAM”. (HR Abu Daud)

Perlu juga diketahui bahawa ada penggunaan bahan/medium yang boleh menjadi ikhtiar di dalam proses perubatan; yang boleh menjadi setakat hukumnya HARUS dengan syarat dilakukan oleh orang yang mempelajarinya dengan TEKNIK yang BETUL dan TERBUKTI seperti: air, ais, garam, kain kapas, limau nipis, daun bidara, daun sireh, segala jenis bungaan, tumbuhan dan herba, madu, buah delima, minyak zaitun dan banyak lagi; yang tidak diharamkan dalam Islam.  

Sebagai contoh; sebagaimana sebilah pisau. Pisau adalah perkara yang menjadi HARUS lagi HALAL jika digunakan untuk tujuan kebaikan seperti memotong bahan untuk masakan untuk manusia. Pisau juga boleh menjadi keperluan dalam mengerjakan IBADAH seperti Korban, Aqiqah, Kenduri dan sebagainya.

Namun, pisau juga boleh menjadi perkara HARAM lagi MUNGKAR sekiranya digunakan untuk tujuan kejahatan seperti membunuh orang yang tidak bersalah atau sebarang kejahatan lain seperti kezaliman dan penganiayaan.

Maka, dengan kebijaksanaan perlu dilihat akan cara penggunaan sesuatu benda/medium itu; bukan secara terus menjatuhkan hukum tanpa ilmu yang mencukupi. Wallahu'alam.

“Nabi Musa menjawab: TUHAN KAMI ialah yang telah MEMBERIKAN KEPADA TIAP-TIAP SESUATU: KEJADIAN SEMULAJADINYA YANG SESUAI DENGANNYA, kemudian DIA MEMBERI PETUNJUK kepadanya akan CARA MENGGUNAKANNYA.” (Toha: 50)

“Dan TIADALAH KAMI MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI SERTA SEGALA YANG ADA DI ANTARA KEDUANYA sebagai ciptaan yang tidak mengandungi HIKMAH DAN KEADILAN...” (Sad: 27)


4) Teknik perubatan yang digunakan adalah tidak mengaitkan dengan unsur-unsur ghoib (selain Allah SWT), mendengar suara, bermimpi, 'menurun' atau rasukan demi mencapai kemujaraban perubatan.

Di dalam masyarakat; unsur ghoib (yang kononnya memiliki kuasa hebat tersendiri) seperti jin, mambang, roh, semangat, panglima, puteri, orang bunian, wali, sheikh, keturunan dan sebagainya; adalah sangat sinonim dengan perihal perubatan tradisional semua bangsa dan agama.

Manusia adalah sebaik-baik kejadian dan merupakan makhluk yang paling mulia disisi Allah SWT. Tidak perlu; malahan adalah hukumnya haram lagi mungkar dalam mencari kesembuhan atau kesenangan dunia melalui makhluk lain (yang pastinya penyamaran oleh Syaiton); walaupun yang mengaku sebagai beragama Islam.

"Katakanlah: Sekali-kali TIDAK AKAN MENIMPA KAMI MELAINKAN APA YANG TELAH DITETAPKAN OLEH ALLAH bagi kami. DIALAH PELINDUNG kami, dan HANYALAH KEPADA ALLAH ORANG-ORANG YANG BERIMAN HARUS BERTAWAKAL." (At-Tauba: 51)


5) Perubatan Islam itu bukan setakat Ruqyah Syar'iyah sahaja.

Perlu diketahui bahawa Ruqyah Syar'iyah itu adalah salah satu cabang dalam Perubatan Islam. Islam tidak pernah melarang apa jua Kaedah Perubatan, selagi tidak bertentangan dengan Syariat Islam. 

Asal usul Perubatan Moden yang ada di Klinik dan Hospital hari ini juga adalah berasal dari idea dan kebijaksanaan para Ilmuan Islam; sebagaimana dalam alatan pembedahan, anatomi, bius, ubat-ubatan dan sebagainya lagi; termasuklah institusi hospital dan profession kedoktoran (tabib) itu sendiri. 

Adapun Kaedah Perubatan Alternatif seperti Bekam, Akupuntur, Sauna, Terapi Aroma, Terapi Warna, Terapi Aliran Elektrik, Urutan, Refleksologi, Aura, Tenaga dan banyak lagi; adalah menjadi harus kepada orang Islam di dalam berikhtiar mencari kesembuhan Penyakit dan Masalah; selagi berlandaskan Syariat Islam serta tidak bercanggah dengan Aqidah. 

Membaca Ayatul Quran itu adalah satu keperluan bagi orang Islam yang beriman, sebelum memakan sebarang ubat atau memulakan sebarang rawatan. Setidak-tidaknya dengan membaca kalimah 'Bismillahi rohman nirrohim'. Al-Quran adalah salah satu dari Rukun Iman dan perlu sentiasa dijunjung serta perlu berada terdahulu dari perkara-perkara yang lain. Al-Quran adalah keperluan kepada orang-orang yang beriman; dan BUKAN PERUBATAN ALTERNATIF. Al-Quran bukan hanya dicari dan didengari pada waktu sakit semata-mata. Al-Quran perlu dibaca; atau sekurang-kurangnya didengari setiap hari. Al-Quran adalah MUKJIZAT terbesar bagi Nabi Muhammad SAW (yang ditinggalkan pada umat Baginda yang dikasihi) dan adalah KATA-KATA ALLAH SWT.

“Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari AL-QURAN ayat-ayat suci yang menjadi UBAT PENAWAR dan RAHMAT bagi ORANG YANG BERIMAN kepadanya.” (Al-Isro’: 82) 

“Katakanlah: AL-QUR’AN itu ialah PETUNJUK DAN PENAWAR.” (Al-Fussilat: 44)

Maka, ingatlah bahawa AL-QURAN BUKAN PERUBATAN ALTERNATIF. Al-Quran adalah keperluan bagi orang-orang-orang yang beriman; setiap masa dan ketika. Al-Quran itu sangat hebat dan tidak ternilai akan kehebatannya. Al-Quran adalah cahaya; adalah rohmat sekelian alam. 

Perubatan Islam perlu dilihat dari skop yang luas dan dinamik, iaitu berevolusi seiring dengan tamadun manusia. Membaca Ayatul Quran adalah satu kemestian di dalam mencari kesembuhan; seiring dengan segala ibadah yang lain seperti Solat Wajib dan Solat Sunat, bersedekah, berbuat kebaikan dan sebagainya. Namun, janganlah sesekali mencetekkan ajaran Islam dengan hanya menganggap Perubatan Islam hanya dengan membaca Ayatul Quran. Astaghfirullahal 'azim. 

Perubatan Islam itu sangat luas dan mencakupi apa jua yang terkandung di antara langit dan bumi; dengan izin, kehendak dan kuasa Allah SWT jua; Tuhan Yang Maha Bijaksana. Namun, yang dikatakan menjadi perubatan itu, perlulah berpandukan kepada Hukum Syari'e pada setiap masa dan bukannya di atas pertimbangan akal yang ketandusan ilmu pengetahuan.

Sabda Rasulullah SAW: "ALLAH menurunkan PENYAKIT dan menurunkan pula UBATNYA, DIKETAHUI OLEH YANG MENGETAHUI DAN TIDAK AKAN DIKETAHUI OLEH ORANG YANG TIDAK MENGERTI" (HR Al-Bukhori dan Muslim)

Daripada Jabir bin Abdullah dari Nabi SAW sabdanya: “TIAP-TIAP PENYAKIT ITU (ADA) UBATNYA. Apabila MENEPATI UBAT TERHADAP PENYAKIT TERSEBUT, MAKA SEMBUHLAH dengan IZIN ALLAH” (HR Muslim dan Ahmad)


6) Bolehkah Perawat Islam melihat rupa jin? Berapa jumlah jin?

Perlu kita akui bahawa ilmu dari Allah SWT itu sangat luas. Melihat sesuatu makhluk yang diluar kemampuan mata kasar manusia, bukanlah sesuatu yang aneh sebenarnya. Sebagaimana manusia dapat melihat rupa bakteria, virus dan malahan segala sel serta genetik yang hidup dan juga tidak hidup, sinar ultraviolet, sinar gamma, bintang, galaksi dan segalanya yang tersangat halus dan tersangat jauh; dengan peralatan berteknologi tinggi masa kini; yakni dengan mempelajari dan mempraktikkan ILMU pengetahuan yang betul, maka tidaklah menjadi perkara mustahil kepada manusia. 

Ada pendapat yang mengatakan bahawasanya, setiap orang yang dapat melihat jin itu sebenarnya berdampingan atau dirasuk dengan jin! Pendapat ini adalah sangat cetek. Memang benar, dalam kebanyakan kes yang berkaitan dengan gangguan jin, seseorang Pesakit yang dirasuki oleh jin; memang mampu untuk melihat makhluk jin yang berada di dimensi/alam yang lain. 

Tetapi, perkara itu tidak sentiasa berlaku. Orang yang dirasuk jin juga boleh tidak nampak jin; atau kadangkala hanya melihat perkara-perkara yang tidak berkaitan jin seperti roh orang yang telah meninggal, sesuatu kejadian, suasana, tempat, kisah lampau dan sebagainya.

Sebenarnya, secara lebih tepat (bagi orang yang berilmu pengetahuan), melihat jin ini boleh dipelajari. Tetapi definisi 'melihat' ini adalah dari 'mata hati'; bukannya dari 'mata kasar'. Sebagaimana contoh, seorang anggota polis yang dapat mengecam seorang penjahat seperti pencuri motosikal; dari raut air mukanya sahaja. Ini bukanlah perkara yang sukar bagi seorang anggota polis; yang berpengalaman luas. Walau bagaimanapun, hal ini perlulah ada undang-undang dan tatacaranya yang perlu dipatuhi sebelum dijatuhkan hukuman.

Maka, tidak mustahil seseorang Perawat Islam juga dapat menilai dan 'nampak dengan mata hati' (melalui amalan Zikirullah yang membersihkan hati dan keizinan Allah SWT) jin yang mendampingi atau merasuk seseorang Pesakit itu. Kemampuan untuk melihat jin ini adalah perkara yang sensitif di dalam Perubatan Islam, namun ianya bukanlah perkara yang mustahil bagi Perawat yang berpengalaman luas serta bersumberkan dari aliran ilmu tahap tinggi. Wallahua'lam. 

Sekiranya seseorang itu mempelajari ilmu, kaedah serta teknik yang betul mengenai lapisan alam/dimensi yang ada di sekeliling kita ini, dengan fokus penyatuan minda dan hati serta cara pengawalan yang efektif; maka sudah pasti hal melihat jin ini bukanlah perkara yang pelik dan aneh.

Diriwayatkan Rasulullah SAW juga pernah melihat jin Ifrit yang sedang mengejar Baginda. Kemudian, turun Malaikat Jibril dan telah mengajar Baginda sepotong doa bagi melawan jin itu. Rasulullah SAW juga diriwayatkan pernah berbai'ah dengan sekumpulan jin, yang dikatakan telah memeluk agama Islam. Banyak juga kisah para sahabat yang berkaitan dengan melihat jin. Antaranya adalah sahabat yang bernama Khurafah, yang telah berada di dalam mahkamah jin (spesies bunian) setelah membunuh seekor ular.

Rasulullah SAW dan para sahabat berkenaan, tidak pernah mempelajari ilmu untuk melihat jin. Namun, ini membuktikan bahawa seseorang manusia yang tidak dirasuki atau berdampingan dengan jin; untuk melihat jin adalah tidak mustahil. Ilmu yang tidak pernah dipelajari oleh Rasulullah SAW, tidak bermakna kita dilarang untuk mempelajarinya. Setiap ilmu adalah darI Allah SWT jua dan kita wajib mempelajarinya demi kemaslahatan ummat Islam. Allah SWT mengurniakankan kita ujian dengan ilmu yang kita perolehi; samada memilih jalan ke syurga atau ke neraka. Na'uzubillahi min zaalik. 

Maka, kesimpulannya; seseorang yang dirasuki jin boleh melihat jin (tidak semestinya); tetapi orang yang boleh melihat jin, tidak semestinya dirasuki atau berdampingan dengan jin. Melihat jin boleh dipelajari (namun tidak mudah), dengan izin Allah SWT jua.

Berkaitan dengan jumlah jin pula, sebenarnya adalah amat sukar untuk dipastikan secara tepat. Ada dakwaan yang mengatakan sejumlah 144 ekor jin bersama Pesakit, adalah dakwaan yang sukar diterima. Dakwaan samada jin itu 'banyak' atau 'sedikit", masih boleh diterima. Namun, sekiranya dinyatakan akan jumlahnya secara angka, adalah mustahil. Namun, boleh berlaku; secara kadangkala jumlah angkanya dapat dikira oleh orang yang 'nampak'; tetapi bukanlah setiap masa. 


7) Asap dan Warna Kuning dikaitkan dengan jin

Ini adalah tanggapan yang juga cetek akan pemikirannya. Bukan semua asap itu ada kaitan dengan jin. Bukan semua yang berwarna kuning itu ada kaitan dengan jin.

Memang benar, jin sukakan kepada asap sebagai zat makanannya. Namun bukan semua asap itu ada kaitan dengan jin. 

Jika setiap asap itu disukai jin, maka banyaklah manusia yang dirasuk jin di PUSPAKOM yang menjalankan ujian asap kenderaan awam. Mungkin, ramai juga yang tersampok dengan jin ketika berada di Stesen Bas yang sudah tentu banyak dengan bas dan teksi yang mengeluarkan asap. Begitu juga dikilang-kilang yang mengeluarkan asap dari proses pembuatan, pemprosesan dan sebagainya; maka sudah pastinya saban hari ramai pekerja yang mengalami gangguan jin dan jatuh sakit dengan teruk sekali; sekiranya asap didakwa kononnya akan mendatangkan jin. Bagaimana dengan semburan asap bagi membasmi nyamuk Aedes?  Maka, banyaklah jin yang datang bersama asap ke kawasan rumah penduduk.

Inilah antara pemikiran yang sangat cetek lagi jahil; yang berkisar di kalangan ummat Islam di Malaysia. 

Begitu dengan warna kuning, yang didakwa kononnya adalah warna kesukaan jin. Cahaya matahari juga berwarna kuning, yang memancar ke seluruh alam. Terdapat banyak bas ekspres dan teksi berwarna kuning. Adakah kesemuanya disukai dan dimonopoli oleh jin? Warna apakah gambaran pakaian makhluk halus (jin) yang digambarkan atau pernah dilihat oleh manusia? Adakah semuanya berwarna kuning? Balairong Istana Negara juga berwarna kuning, yang sering digunakan dalam upacara adat istiadat penganugerahan pingat, persidangan, pertabalan dan kemangkatan. Begitu juga di istana-istana bagi para Sultan di Tanah Melayu, yang majoritinya dihiasi indah dengan kain berwarna kuning. Adakah kesemuanya dihuni dan berkisar dengan jin?

Sebenarnya, yang berkaitan dengan asap dan yang berwarna kuning itu belum tentu ada kaitannyadengan jin. Tidak ada fakta bahawa jin menyukai warna kuning semata-mata. Dalam kebanyakan gambaran mengenai hantu atau makhluk halus yang terlihat, samada ianya berpakaian putih, hitam dan juga hijau. Maka, mengapa warna kuning dikaitkan dengan jin? 

Yang jahatnya adalah tukang sihir, para bomoh, dukun, pawang dan segala pengamal ilmu hitam. Kekufuran dan kesesatan adalah pada iktiqad,  niat dan perbuatan mereka. Asap kemenyan sangat popular digunakan sebagai salah satu elemen terpenting dalam pengamalan ilmu hitam mereka; kerana harganya yang murah, senang diperolehi, berbau wangi dan mudah mengeluarkan asap. Kemenyan itu tidak haram dan tidak bersalah.

Begitu juga, kain berwarna kuning adalah lebih nampak 'glamour' dari kain warna lain, yang sering dijadikan sebahagian dari pemakaian dan peralatan yang digunakan mereka.

NASIHAT: Janganlah sesekali kita terus mempercayai fitnah dan menyokong ketandusan ilmu serta menjatuhkan hukuman ke atas asap dan warna kuning yang didakwa kononnya berkaitan dengan jin. Asap yang terlampau banyak memang tidak baik untuk kesihatan. Namun, asap dan warna kuning tidak bersalah apa-apa. Jangan begitu sibuk mencemuh: asap sahaja, ada jin; kuning sahaja, ada jin. 

Jin datang bukan kerana warna, bukan kerana asap. Yang disukai oleh kebanyakan jin kafir, adalah kerosakan aqidah dan kemusnahan iman seseorang itu. Perbuatan jahat, kemungkaran, kezaliman dan menyekutukan Allah SWT adalah penyebab kepada kehadiran dan pendampingan jin; dan sesekali bukan kerana asap dan warna kuning. Wallahua'lam. 


8) Rawatan Jarak Jauh yang mengikut Syariat

Sekiranya kita yakin kepada kekuasaan Allah SWT yang tidak ada batasannya, tidak ada had sempadannya; maka tidak ada masalah bagi kita mempercayai Rawatan Jarak Jauh; dengan syarat ianya dilakukan melalui Solat Hajat dan Doa. Sekiranya ada bacaan Ruqyah Syar'iyah dan Zikirullah, maka adalah lebih baik lagi.

Tidak ada yang pelik dan anehnya di dalam melaksanakan Solat Hajat bagi memohon sesuatu kebaikan dari Allah SWT. Sesiapa sahaja orang Islam sangat digalakkan untuk mengerjakan Solat Hajat bagi memohon keredhoan dan pertolongan segera dari Allah SWT. Solat Hajat adalah sebagai salah satu ikhtiar kita di dalam mencari kesembuhan atau penyelesaian masalah. Perlu diingati bahawa Allah SWT jua Maha Penyembuh dan tidak ada hak bagi sesiapa jua dalam menentukan kesembuhan; dalam apa jua jenis perubatan. 

Yang sering menjadi tanda tanya ialah, bolehkah kita menyuruh orang lain melakukannya bagi pihak kita?

Ada perbuatan ibadah yang lain seperti mengerjakan ibadah haji (badal haji), aqiqah, korban, tahlil, bacaan doa dan kenduri; yang boleh diserahkan kepada orang Islam lain melaksanakannya bagi mewakili diri seseorang individu lain. Perkara ini tidak menjadi kesalahan di dalam Islam.

Maka, adalah tiada menjadi kesalahan dan hukumnya harus jika kita menyuruh orang lain yang lebih mahir dan khusus di dalam bidang Perubatan Al-Quran, bagi melaksanakan Solat Hajat dan bacaan Doa bagi pihak kita (atau orang lain). Walau bagaimanapun, sebagai Pesakit atau waris Pesakit, adalah sangat diseru untuk kita melakukannya sendiri kerana itu adalah yang terbaik di sisi Allah SWT. 

Ada kos dan pertimbangan upah yang perlu kita tanggung di dalam menyuruh apa jua tugas dan tanggungjawab kepada orang lain. Mungkin ada insan yang sanggup melakukan suruhan kita tanpa sebarang upah, tetapi kemungkinan sebegini amatlah tipis. Ini adalah fitrah dan kebiasaan di dalam kehidupan manusia yang semakin mencabar dan kompleks pada hari ini. Ketahuilah bahawa naskhah Al-Quran juga ada nilai harga yang berbeza-beza mengikut kualiti saiz, kertas, dakwat, percetakan, rekabentuk, pembungkusan dan sebagainya. Kos pembinaan masjid juga berbeza mengikut harga tanah, bahan pembinaan, saiz, rekabentuk, kepakaran, tenaga kerja dan sebagainya lagi. Maka adalah harus dalam membayar sesuatu harga dengan nilai wang ringgit walaupun ianya berkaitan amal ibadat.

Solat dan membaca Al-Quran serta berdoa itu tidak ada kosnya; tetapi Perawat yang melaksanakannya perlu terus hidup dan menyara keluarga dan kehidupan; termasuklah untuk menanggung segala kos di dalam pengurusan dan operasinya. Maka, janganlah kita memandang rendah kepada keperluan terhadap sumbangan kita kepada kesinambungan dan pembangunan aktiviti-aktiviti berkaitan ibadah. Wallahua'lam.

Apa yang sangat penting, janganlah kita sesekali terlibat dengan aktiviti Rawatan Jarak Jauh yang dilakukan oleh para bomoh, dukun dan pawang; yang berdampingan dengan jin. Bukan setakat perlu membayar dengan sejumlah upah, malah sebagai Penempah; kita juga terlibat sama dengan perbuatan menyekutukan Allah SWT (syirik) dan kemungkaran. Na'uzubillahi min zaalik. 

“Sesungguhnya ALLAH TIDAK AKAN MENGAMPUNKAN DOSA ORANG YANG MEMPERSEKUTUKANNYA DENGAN SESUATU dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya; dan SESIAPA YANG MEMPERSEKUTUKAN ALLAH DENGAN SESUATU, maka sesungguhnya dia telah SESAT DENGAN KESESATAN YANG AMAT JAUH.”  (An-Nisa: 116)


9) Tanggapan Perubatan Islam itu bertaraf murahan adalah salah.

Islam bukan sekadar agama dan kepercayaan. Islam adalah cara kehidupan yang lengkap meliputi minda, tubuh badan, roh, hati dan jiwa. Islam adalah fitrah kehidupan setiap insan. 

Islam itu penuh dengan kesucian, keagungan dan kedaulatan. Islam adalah kualiti dan keunggulan di dunia dan akhirat. Islam itu sama sekali bukan kemiskinan dan kehinaan. Islam bukan lambat, bukan perlahan, bukan bersikap sekadar cukup syarat. 


Kehidupan yang penuh dengan peperangan, kemelaratan, kemiskinan dan kesusahan adalah ujian bagi ummat Islam. Dunia ini dicipta untuk orang-orang kafir menikmati kesenangan dan kenikmatan, bergantung kepada hasil usaha mereka. Balasan baik untuk orang-orang kafir semuanya sangat mudah untuk mereka perolehi, berbanding dengan orang-orang Islam.

Bagi orang-orang Islam, dunia dicipta sebagai tempat untuk mengambil ujian bagi mencapai matlamat kehidupan yang sebenar di akhirat kelak. Namun, setiap orang Islam adalah wajib untuk memakmurkan bumi Allah. Mencari kesenangan dan kekayaan adalah satu kewajipan. Berusaha mencari rezeki yang halal, di samping berusaha mencari keredhoan Allah SWT; adalah satu keperluan yang tidak boleh dipinggirkan.

Dari Anas bin Malik RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: ”Sesungguhnya APABILA ORANG-ORANG KAFIR MENGERJAKAN KEBAJIKAN DI DUNIA DIA DIBERI UPAH DENGAN AMALNYA ITU BERUPA REZEKI DI DUNIA. Sedangkan ORANG-ORANG MUKMIN, PAHALA KEBAJIKANNYA DISIMPAN ALLAH TAALA UNTUKNYA DI AKHIRAT KELAK SERTA DIBERINYA REZEKI DI DUNIA BERHUBUNG DENGAN TAATNYA.” (HR Muslim)

Tanggapan bahawa para ahli ibadah, Ulama', Imam, Bilal, Ustaz dan Perawat; tidak layak untuk hidup senang; adalah satu kehinaan yang dipraktikkan oleh majoriti masyarakat Islam. Perkara ini adalah sangat bertentangan dengan ajaran Islam yang sangat mementingkan kemakmuran dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Perkara-perkara yang berkaitan sumbangan kepada Masjid dan Surau, kepada pembangunan ekonomi ummat Islam, kepada hal-hal berkaitan kesejahteraan hidup para ahli ibadah, Ulama', Imam, Bilal, Ustaz dan Perawat; kita ambil sikap sambil lewa. Bukan menjadi urusan kita. Kita menganggap hal-hal yang berkaitan Islam adalah sepatutnya percuma atau kadar harga yang paling murah dan rendah. Kita meletakkan Islam pada kualiti yang sangat rendah.

Walhal, kita sanggup membayar beribu-ribu ringgit setahun untuk mendapatkan hiburan di televisyen, melanggan internet, membeli telefon bimbit, berkereta terbaik, melancong, mendapatkan pendidikan sekular, barangan kesihatan, berfesyen, bertudung, berjubah, berhari raya, menjamu selera dan sebagainya lagi. Kita sanggup membayar harga yang mahal kepada orang-orang kafir, tetapi murah kepada orang-orang Islam. Kita sanggup membayar harga yang mahal demi keseronokan dan hawa nafsu, tetapi murah kepada orang-orang yang berdakwah dan berjihad di jalan Allah. 

Maka, jangan hairanlah sekiranya hidup kita tidak mendapat ketenangan, rezeki yang diperolehi sentiasa tidak cukup, hutang tidak pernah selesai, penyakit gangguan jin tidak sembuh-sembuh atau berbagai jenis lagi kesusahan yang bersilih ganti.

Janganlah kita menganggap tugas merawat Pesakit dengan bacaan Al-Quran dan doa-doa mustajab itu; satu tugas yang bertaraf rendah dan murahan. Janganlah kita menghina para Perawat yang memperjuangkan Perubatan Islam itu dengan mengharap kepada perubatan secara percuma semata-mata. Janganlah kita merendahkan martabat para ahli ibadah, Ulama', Imam, Bilal, Ustaz dan Perawat dengan membayar dengan kadar yang boleh dilipat-lipat dalam sebelah tangan sahaja. Janganlah menjadi orang Islam yang mengaku Islam tetapi bersifat kedekut lagi bakhil kepada pembangunan Islam.

“Adapun orang yang MEMBERIKAN (hartanya di jalan Allah) dan BERTAQWA, serta MEMBENARKAN ADANYA PAHALA YANG TERBAIK (SYURGA), maka kami kelak akan MENYIAPKAN BAGINYA JALAN YANG MUDAH. Dan adanya orang-orang yang BAKHIL dan merasa dirinya cukup, serta mendustakan pahala yang terbaik, maka kelak kami akan menyiapkan baginya (jalan) yang SUKAR” (Al-Lail: 5-10) 

Sekiranya Pesakit tidak berkemampuan dari segi kewangan, adalah satu perkara yang berbeza. Memberikan rawatan dengan diskaun atau secara percuma adalah sangat dituntut dalam Islam. Namun, Pesakit juga perlu bersifat amanah dan tidak mengambil kesempatan di atas kebaikan dan toleransi Perawat berkenaan. Wallahua'lam.

Sekiranya rawatan, perkhidmatan dan pra-sarana yang diberikan adalah berkualiti dan memuaskan, maka tidak salahnya sebagai orang Islam yang beriman; kita menyumbangkan bayaran yang setimpal dengan kualiti yang diberikan itu dengan niat untuk bantu-membantu. Doa adalah senjata mukmin, tetapi sedekah itu adalah lebih tajam dari doa. In shaa Allah. 


 10) Ramai yang mahu jadi Perawat Islam, tapi masih jahil.

Untuk menjadi seorang Perawat Islam yang berjihad di jalan Allah, minat sahaja belum mencukupi. Perlu ada ilmu yang mencukupi dari guru-guru dikalangan manusia, yakni jangan sesekali berguru dengan mimpi, buku-buku dan pembacaan di dalam internet semata-mata. Perlu mendalami bidang Perubatan Islam dari skop yang luas serta memahami intipati Islam itu sendiri, diperingkat tempatan serta secara global. Perlu belajar mengenal Allah SWT; dan mengenal DIRI sendiri.

Kita sangat dianjurkan untuk menghormati guru, walau guru itu bukan Islam. Namun, janganlah kita sesekali bersifat taksub kepada seseorang guru itu. Setiap makhluk ini ada kelemahannya. Tidak ada kesempurnaan pada makhluk. Maha Sempurna hanya Allah SWT, Tuhan Maha Pencipta bagi segala-galanya di langit dan di bumi.

Menjadi Perawat Islam, bukan satu pekerjaan yang glamour; bukan boleh jadi 'ikut-ikutan'; tetapi adalah satu tanggungjawab dan amanah dari Allah SWT yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya, mengikut Syariat Islam, sejajar dengan martabat keagungan Islam. Menjadi Perawat adalah tugas yang sangat berat dan sangat berisiko tinggi. Berhadapan dengan manusia yang zalim (yang mengamalkan ilmu hitam/sihir), jin, syaiton dan iblis ini bukan perkara yang mudah. Perawat sentiasa terdedah dengan segala ancaman; secara zahir dan batin; termasuk orang-orang yang berada di sekeliling Perawat. Tidak ada manusia yang kebal. Rasulullullah SAW, para Sahabat serta para alim ulamak juga tidak kebal.

Untuk menjadi seorang Perawat Islam, perlu ada ilmu pengetahuan dunia dan akhirat yang mencukupi, cinta dan keyakinan kepada Allah SWT, cinta kepada Rasulullah SAW, keyakinan kepada diri sendiri, pengalaman, keberanian, kesabaran, kecekalan, kebijaksanaan, merendah diri serta hati yang bersih; juga kesihatan tubuh badan yang baik; terutamanya dalam melawan tipu daya syaiton, jin dan iblis; yang sentiasa mahu merosakkan dan mengganggu-gugat anak cucu Nabi Adam AS sehingga ke hari Kiamat.

"Dan sesiapa yang BERTAQWA KEPADA ALLAH, nescaya akan dijadikan baginya JALAN KELUAR. Serta memberinya REZEKI dari JALAN YANG TIDAK TERLINTAS hatinya. Dan, sesiapa BERSERAH DIRI BULAT-BULAT kepada Allah, maka ALLAH CUKUPKAN BAGINYA. Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang di kehendakiNya. ALLAH TELAHPUN MENENTUKAN KADAR DAN MASA bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." (At-Talaq: 2-3) 

“PATUTKAH MANUSIA MENYANGKA BAHAWA MEREKA AKAN DIBIARKAN DENGAN HANYA BERKATA: "KAMI BERIMAN", SEDANG MEREKA TIDAK DIUJI (DENGAN SESUATU CUBAAN)? Dan Demi sesungguhnya! KAMI TELAH MENGUJI ORANG-ORANG YANG TERDAHULU DARIPADA MEREKA, maka (dengan ujian yang demikian), NYATA APA YANG DIKETAHUI ALLAH TENTANG ORANG-ORANG YANG SEBENAR-BENARNYA BERIMAN, DAN NYATA PULA APA YANG DIKETAHUI-NYA TENTANG ORANG-ORANG YANG BERDUSTA.” (Al-Ankabut: 1-3)

“ADAKAH PATUT KAMU MENYANGKA BAHAWA KAMU AKAN MASUK SYURGA, PADAHAL BELUM SAMPAI KEPADA KAMU (UJIAN DAN CUBAAN) SEPERTI YANG TELAH BERLAKU KEPADA ORANG-ORANG YANG TERDAHULU DARIPADA KAMU? MEREKA TELAH DITIMPA KEPAPAAN (KEMUSNAHAN HARTABENDA) DAN SERANGAN PENYAKIT, SERTA DIGONCANGKAN (OLEH ANCAMAN BAHAYA MUSUH), SEHINGGA BERKATALAH RASUL DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN YANG ADA BERSAMANYA: BILAKAH (DATANGNYA) PERTOLONGAN ALLAH?" Ketahuilah sesungguhnya PERTOLONGAN ALLAH ITU DEKAT (ASALKAN KAMU BERSABAR DAN BERPEGANG TEGUH KEPADA AGAMA ALLAH)”. (Al-Baqoroh: 214)

“Sesungguhnya BERJAYALAH ORANG YANG BERUSAHA MEMBERSIHKAN DIRINYA (DENGAN TAAT DAN AMAL YANG SOLEH). DAN MENYEBUT-NYEBUT DENGAN LIDAH DAN HATINYA AKAN NAMA TUHANNYA SERTA MENGERJAKAN SOLAT (DENGAN KHUSYUK) (TETAPI KEBANYAKKAN KAMU TIDAK MELAKUKAN YANG DEMIKIAN) BAHKAN KAMU UTAMAKAN KEHIDUPAN DUNIA. PADAHAL KEHIDUPAN AKHIRAT LEBIH BAIK DAN LEBIH KEKAL.” (Al-A’la: 14-17)



Artikel tulisan:
Cikgu Indera Saifullah  
PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™
alqayyum2u.blogspot.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Popular