Sabtu, 6 Ogos 2011

Fadhilat Romadhon

1. Dibelenggu para syaiton dan jin
Menurut Imam As-Syafie hanya jin dan syaiton yang bengis sahaja dibelenggu, manakala yang lain masih bebas lalu kerana itu masih terdapat yang membuat maksiat di bulan ini.

“Apabila tiba awal malam dalam bulan Romadhon, diikat semua syaiton dan jin-jin yang derhaka." (Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)

Menurut Imam Abu Hanifah pula, semua jin dan syaiton dibelenggu. Namun masih ada orang melakukan kejahatan kerana syaiton telah menggunakan 11 bulan untuk menerapkan nilai-nilai buruk dalam diri kita. Kebiasaan buruk ini mampu mendorong seseorang kearah kejahatan walau di ketika syaiton di belenggu. Jadi dalam 1 bulan inilah kita harus ambil peluang utuk menyucikan segalanya. 

Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda;
“Apabila masuk bulan Romadhon terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekelian syaiton dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.” (Bukhari & Muslim)

2. Amalan sunat diberi pahala fardhu dan fardhu diganda 70 kali
Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardu dan amal fardu diberi balasan 70 kali ganda. Sebagai contoh solat Jumaat, sekiranya ada 5 kali Jumaat pada bulan itu, maka 5 x 70 = 350 Jumaat di luar Ramadhan, bersamaan 7 tahun solat jumaat. Pahala solat Jumaat sama dengan pahala haji bagi orang miskin yang tidak mampu mengerjakan haji. Solat Jumaat pada minggu akhir Romadhon adalah solat Jumaat yang istimewa. Qadha solat fardhu juga diberi 70 kali ganda pahala.

Daripada Salman RA ia berkata: Telah berkhutbah Rasulullah SAW pada hari terakhir bulan Sya'aban dan sabdanya:
“Wahai manusia sesungguhnya telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi penuh keberkatan (bulan Romadhon) iaitu bulan yang ada padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah jadikan berpuasa padanya suatu kewajipan dan berqiamullail (beribadat pada malam-malamnya) sebagai amalan sunat.Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan itu dengan melakukan amalan kebajikan (amalan sunat) maka ia mendapat pahala seperti melaksanakan perintah yang wajib dan sesiapa yang melakukan suatu amalan yang wajib pada bulan Ramadhan maka ia mendapat pahala seperti orang yang melakukan tujuh puluh (70) amalan fardhu."

Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi Muhammad SAW, sabdanya: 
"Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Romadhon.. menyerulah malaikat, katanya: “Wahai orang-orang yang mahukan kebaikan! Tampillah mengerjakannya dan wahai orang-orang yang hendak melakukan kejahatan! Berhentilah dari meneruskannya; (ketahuilah), Allah Ta'ala banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka – daripada memasukinya. Seruan dan keampunan yang demikian, diberikan pada tiap-tiap malam (dalam bulan Romadhon).” (Riwayat Tirmizi dan Nasa’i)

3. Pintu neraka ditutup
Pada bulan Romadhon, kepanasannya tidak sampai ke alam barzakh (alam perantaran). Seksaan dihentikan pada bulan ini. Sesiapa yang mati dibulan Ramadhan tidak diseksa dan disoal oleh Malaikat Mungkar dan Nakir. Ada yang berpendapat ia ditangguh sehingga lepas Ramadhan.

4. Dibuka semua pintu syurga
Dari Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila datang bulan Romadhon, terbukalah pintu-pintu syurga.” (Hadith Sohih – Riwayat Bukhori).

Banyak rahmat diturunkan pada bulan ini. Orang mukmin ditambah rezekinya seperti makanan yang sedap-sedap semuanya ada di bulan ini. Orang-orang miskin juga dapat menikmatinya pada bulan ini.

5. Allah perhiaskan syurga
Allah percantikkan syurga yang sememangnya cantik. Bagaimana? Tidak terfikir oleh akal manusia. Bidadari berpantun minta disegerakan bertemu bakal suaminya di syurga. Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadhan. Pada awal bulan Romadhon bertiup angin di bawah Arasy dan bergeraklah daun kayu dengan longlai di bawah syurga, terdengarlah desiran daun kayu, hembusan bayu syurga yang teramat indahnya, seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya hingga berdirilah di atas puncak mercu syurga itu, lantas bersuaralah bidadari: Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah? Lalu bidadari lain pula bertanya: Apakah nama malam ini? Jawab Malik Ridhwan: Hai bidadari yang cantik manis, inilah malam Romadhon .

6. Dilepaskan tahanan neraka
Dalam bulan Romadhon (di akhirat juga masih ada bulan Romadhon) Rasulullah SAW bersabda (yang ertinya):
“Allah memiliki hamba-hamba yang dibebaskan dari neraka setiap siang dan malam bulan Romadhon, dan semua orang muslim yang berdo’a akan dikabulkan doanya.” 

7. Romadhon ialah tetamu yang mendatangkan keampunan Allah
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Telah datang kepadamu Romadhon, penghulu segala bulan. Maka selamat datanglah kepadanya, telah datang kepadanya bulan puasa yang membawa segala rupa keberkatan, maka alangkah mulianya tetamu yang datang itu.”

Layanlah tetamu mengikut apa yang dia suka, misalnya jika dia suka makan ikan, hidangkanlah masakan ikan. Sepertimana orang yang melayan tetamu dengan baik, seluruh ahli rumah itu akan diberi keampunan setelah tetamu itu pulang, begitu juga Ramadhan, jika kita mengikut kehendak dan disiplin yang ditetapkan pada bulan itu, maka kita juga akan mendapat keampunan.

Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi Muhammad SAW sabdanya:
“Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Romadhon dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah Ta'ala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu." (Hadith Sohih – Riwayat Bukhori dan Muslim)

Dari Abu Hurairah RA, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan beramal dengannya dan perbuatan liar yang lazimnya dilakukan oleh orang-orang jahil, maka tiada bagi Allah sesuatu hajat tentang ia meninggalkan makanannya dan minumannya.” (Hadith Sohih – Riwayat Bukhori dan Abu Daud)“

8. Tawaran pengampunan dosa lepas dan akan datang
Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi Muhammad SAW sabdanya: 
"Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Romadhon dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu." (Hadith Sahih – Riwayat Bukhori dan Muslim)

Dari Abu Hurairah RA berkata:
“Adalah Rasulullah SAW menggalakkan qiyamullail (solat malam) di bulan Romadhon tanpa memerintahkan secara wajib, baginda bersabda: "Sesiapa yang solat malam di bulan Romadhon kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang telah lalu."

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Ar-Rasul SAW telah bersabda:
"Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan dosanya yang akan datang, sesiapa yang menghidupkan qiyamullail dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan yang akan datang."

Rasulullah SAW bersabda: 
“Siallah (rugilah) puasa orang yang tidak mendapat keampunan.”

Semoga Romadhon kali ini lebih baik dari Romadhon yang lalu......


Sumber: http://akuseekorkuman.blogspot.com/2010/08/fadhilat-ramadhan.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Popular